Uncategorized

“Tak nak datang tak apa, tunggu je ja.sad Along depan rumah” – Bapa akhirnya rentas negeri, kumpul kekuatan memandu sambil m3nangis demi tatap j3nazah anak kali terakhir

SETELAH berbulan-bulan terpisah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang bapa tidak menyangka berpeluang untuk merentas negeri sejauh beratus kilometer demi melihat sekujur tubuh anak sulungnya untuk dikebumikan.

Menerusi satu video yang dikongsi di aplikasi TikTok, seorang bapa menangis sepanjang perjalanan ketika memandu dari Terengganu ke Selangor untuk pengebumian anak sulungnya.

“Al-Fatihah untuk Along. Doakan Abah terus kuat,” menurut keterangan video tersebut yang dimuat naik oleh seorang gadis yang merupakan adik arwah.

Gadis berkenaan, Azizue Haifaa Mohd Zubair berkata, kakaknya meninggal dunia pada usia 29 tahun, Khamis lalu selepas menghidap penyakit buah pinggang dan penyakit tibi.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, kakaknya yang merupakan anak sulung sepatutnya pulang ke kampung di Kuala Terengganu pada Sabtu untuk menerima rawatan.

“Sejak pandemik Covid-19 lebih setahun, keluarga kami di Kuala Terengganu agak terpisah dengan arwah Along (kakak) kerana PKP dan larangan rentas negeri.

“Kali terakhir arwah Along pulang ke kampung pada September lalu. Patutnya dia balik Sabtu untuk rawatan, tak sangka Along pergi dulu meninggalkan kami,” katanya kepada mStar.

Azizue yang berusia 21 tahun berkata, arwah kakaknya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 12.30 tengah hari Khamis di Hospital Sungai Buloh di Selangor.

Namun katanya, bapanya berusia 52 tahun yang merupakan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu pulang awal ke rumah pada hari berkenaan.

“Ayah beritahu dia balik awal sebab rasa tak sedap hati pagi tu. Tengah hari mak terima panggilan daripada abang ipar di Selangor maklumkan Along disahkan meninggal dunia di hospital.

“Mulanya ayah seperti tak percaya sehingga kami terpaksa beritahu ayah beberapa kali. Bila ayah baru sedar Along meninggal dunia, memang ayah menangis teruk,” ujarnya.

Menurut Azizue, dia sebelum ini dipujuk oleh arwah kakak supaya datang ke rumahnya di Subang Impian di Shah Alam, Selangor bagi membantunya mengemas barang untuk pulang ke kampung.

“Bukan saya tak nak, tapi atas sebab apa yang membolehkan saya untuk merentas negeri? Along yang sepatutnya balik ke Kuala Terengganu pun hanya selepas menyiapkan segala dokumen perubatan.

“Sebenarnya Along dah berkali-kali minta kami sekeluarga untuk datang ke Selangor. Along pernah merajuk dan kata ‘Kalau tak nak datang tak apa, nanti tunggu je jasad Along depan rumah’.

“Kami tak sangka itu satu petanda Along akan meninggalkan kami. Sebelum ini kami hanya buat video call untuk bertanya khabar dan melepaskan kerinduan,” tambahnya.

Dia yang baru menamatkan pengajian Diploma Industri Fesyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu berkata, bapanya mengambil masa untuk mengumpul kekuatan sebelum memandu dari Pantai Timur ke Selangor untuk urusan pengebumian kakaknya.

“Perjalanan ke Selangor untuk pengebumian Along tertunda lewat sedikit sebab ayah tak cukup kuat untuk memandu. Saya pula tak ada lesen memandu, selain mak dan adik bongsu berusia 19 tahun.

“Pengebumian disegerakan pada malam yang sama. Ayah sempat melihat wajah Along buat kali terakhir sebelum dikebumikan.

“Ikutkan kebumi jenazah pukul 9 malam. Kami minta tunggu sebab kami sampai selepas pukul 10.30 malam. Kami sempat tengok jenazah Along sekejap sebelum dikebumikan,” katanya sambil menambah jenazah kakaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ijok di Ijok, Selangor.

Sumber : https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2021/04/26/tak-nak-datang-tak-apa-tunggu-je-jasad-along-depan-rumah—Bapa-akhirnya-rentas-negeri-kumpul-kekuatan-memandu-sambil-menangis-demi-tatap-jenazah-anak-kali-terakhir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *