Niat asal nak hiking… jurugambar tak pulang tangan kosong! Foto dekat Rawang Bypass buat ramai lapar tengok ‘hutan brokoli’

MUNGKIN hutan tebal nampak sekadar biasa-biasa meskipun kehijauannya memukau.

Namun, menerusi beberapa foto yang dirakam dari udara menggunakan dron, ramai terpaku melihat keindahannya.

Kehijauan Hutan Simpan Kanching di Rawang, Selangor di sepanjang Jalan Pintas Rawang atau Rawang Bypass digambarkan seperti sayur brokoli.

“Nak minta ibu saya masak brokoli malam ni. Lapar tengok gambar anda,” komen netizen.

“Anda membuatkan saya lapar. Haha,” ujar netizen lain.

 

Foto-foto yang dimuat naik di laman Instagram heartpatrick itu dihujani komen-komen yang memuji rakaman lensa jurugambar, Teow Koon Meng.

Lebih dikenali sebagai Patrick, katanya, foto-foto tersebut dirakamkan ketika dia bersama dua rakan mendaki Bukit Kuari berdekatan dengan Rawang Bypass dan membuat beberapa rakaman lebuh raya dari puncak.

“Saya tak sangka melihat pokok-pokok berbunga yang begitu indah di sana, kerana saya belum pernah mendengar sesiapa bercakap mengenainya.

 

“Saya mula menyedari rimbunan tersebut semasa memandu menghala ke lokasi mendaki, dan saya begitu teruja. Setibanya di puncak bukit, saya segera menerbangkan dron mendekati kawasan hutan untuk merakamkan foto,” katanya kepada mStar.

Patrcik berkata, dia menggunakan dron Mavic Air 2s untuk merakamkan foto-foto tersebut yang berdekatan dengan Rawang Bypass, selama kira-kira 40 minit.

Selain teruja, jurugambar yang berpengalaman lebih 12 tahun itu menyifatkan keseluruhan pemandangan di kawasan berkenaan begitu nyata dan menakjubkan bagi Malaysia.

 

“Kami telah melihat keindahan bunga tecoma kira-kira sebulan yang lalu, dan ia satu keajaiban berlaku di bandar.

“Kali ini, pokok-pokok kapur berbunga di hutan, dan hamparan bunga-bunga kekuningan mengingatkan saya pada pemandangan musim luruh di luar negara.

 

“Pengalaman ini juga mengingatkan saya betapa banyak keindahan di tanah air iaitu Malaysia sekiranya kita menjaganya dengan baik,” katanya.

Gembira membaca komen-komen netizen, Patrick pada mulanya tidak menyangka rakaman foto-foto hutan tersebut menarik perhatian ramai.

 

“Saya sebenarnya gembira membaca komen-komen mereka. Saya ingatkan saya adalah orang pertama yang melihatnya seperti brokoli.

 

“Tapi rakyat tempatan yang melalui lebuh raya di Rawang itu sudah lama melabelkan hutan tersebut sebagai pokok-pokok brokoli,” ujarnya.

Selain menggunakan dron, Patrcik turut menggunakan teknik fotografi berkonsepkan light painting yang juga merupakan teknik pengimejan menggunakan pergerakan cahaya, berlatarbelakang Rawang Bypass.

 

Projek Rawang Bypass merupakan lebuh raya sepanjang 23 kilometer (km) yang memendekkan perjalanan dari Serendah ke pusat bandar raya Kuala Lumpur pada waktu puncak dari dua jam kepada 30 minit.

Sebelum ini, Patrcik menjadi perhatian apabila menggunakan teknik fotografi yang sama untuk kelihatan seperti Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan negara ke-63, Ogos tahun lalu.

Sumber : https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2021/05/05/niat-asal-nak-hiking-jurugambar-tak-pulang-tangan-kosong-foto-dekat-rawang-bypass-buat-ramai-lapar-tengok-hutan-brokoli.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*