Uncle Kentang bakal terima anugerah daripada Ratu Elizabeth II

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang bakal menerima anugerah ‘Points of Light’ daripada Ratu Elizabeth II atas usahanya dalam membantu golongan kurang kemampuan.

Difahamkan, anugerah tersebut diberikan setiap minggu kepada individu dari negara Komanwel sebagai pengiktirafan dan penghargaan atas usaha serta sumbangan mereka terhadap masyarakat.

Malah menerusi pencarian di laman web rasmi pointsoflight.gov.uk, aktivis berusia 58 tahun itu menjadi rakyat Malaysia keempat yang menerima penghormatan itu sejak diperkenalkan pada tahun 2018.

Anugerah ini milik anda semua

Menerusi laman Facebook miliknya, dia meluahkan rasa syukur dan menyifatkan anugerah tersebut adalah hasil sokongan rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin serta bermurah hati dalam menjayakan misi bantuannya.

Ia bukan milik saya, ia milik Malaysia

“Tanpa anda, kita tidak dapat membantu orang. Tanpa usaha anda, ramai yang akan kelaparan dan yang meninggal akan berduka kerana tiada ada yang urus.
“Saya dengan rendah diri memaklumkan penghargaan itu bukan untuk saya sendiri.. tetapi ia adalah hak anda semua dan hak rakyat malaysia…
“Anda yang telah “gila” menderma,”gila” membantu dan “gila” memberi sokongan kepada semua inisiatif kita,” tulisnya.

Menerusi posting tersebut, dia menerima e-mel mengenai penganugerahan pada Isnin lalu dan dijangka akan mengambil sijil penghargaan pada 12 Jun hadapan dipercayai di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain, Kuala Lumpur.

Untuk makluman, ktivis berketurunan Cina itu sangat sinonim dengan pelbagai aktiviti kebajikan dan mula menjadi perhatian warganet sejak menyediakan kemudahan teksi 10 sen sehingga van jenazah RM1.

Sumber : ohmymedia

Artikel Sebelum ini

KUALA LUMPUR: Barangan keperluan harian 10 sen (US$0.03), perkhidmatan teksi 10 sen dan rumah transit yang mengenakan bayaran RM1 sehari.

Semua ini merupakan sebahagian daripada usaha murni Kuan Chee Heng, 57, pengasas Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang membantu golongan kurang bernasib baik.

Untuk Pasar 10 Sen anjuran beliau, Kuan menerima barangan terpakai yang disumbangkan oleh orang ramai termasuk pakaian, perkakas, malah pernah juga sebuah kereta. Barangan tersebut kemudian “dijual” kepada penduduk di komuniti kurang berkemampuan pada harga 10 sen satu.

“Asalnya kami hanya memberi makanan, kemudian kami dapati penduduk di komuniti ini memerlukan perkara lain juga,” Kuan memberitahu CNA.

“Bayaran kecil 10 sen ini bertujuan untuk mengelakkan kami memberi barangan ini secara percuma, takut ia tidak dihargai,” ujar beliau.

Jelas beliau, matlamat utama inisiatif ini adalah membantu membanteras jenayah dengan menyumbangkan bekalan keperluan harian dan barangan lain kepada komuniti kurang berkemampuan, dan untuk ahli komuniti bertegur sapa.

Biasanya ketua komuniti setempat seperti pengerusi surau, rukun tetangga dan pengerusi persatuan penduduk akan menghubungi organisasi ini dan menjemput mengadakan Pasar 10 Sen di kawasan mereka.

Setakat ini, inisiatif ini telah membantu 10,000 keluarga di Lembah Klang dan tempat lain di Malaysia, menurut perkiraan Kuan.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*