“Senang Nak Curang…” Syatilla Melvin Persoal ‘Privasi’ Lelaki Yang Tak Mahu Muat Naik Gambar Teman Wanita

Persoal ‘niat’ lelaki, Syatilla Melvin mahu tahu sudut pandangan kukuh alasan tak mahu dedah gambar teman wanita

Seperti sudah menjadi lumrah apabila sedang hangat dilamun cinta, biasanya kedua-dua belah pihak akan memuat naik gambar bersama, tidak kiralah apa sahaja aktiviti yang dilakukan pasti mahu diletakkan sebagai tatapan kenangan di laman media sosial.

 

Namun malangnya tak semua kisah cinta dilalui bak filem romantis, kadang-kala si wanita hanya mampu melihat teman lelaki orang lain sahaja yang kerap memuat naik gambar kekasihnya seperti bangga dan menghargai.

 

Perkataan I Love You yang sering dilontarkan seolah-olah seperti tidak selari dengan perbuatan sayang yang dipamerkan, adakah para lelaki sebenarnya masih terkenang akan bekas kekasih atau sebaliknya perlu menjaga hati wanita lain?

 

Hal yang demikian meraih tanda tanya selebriti terkenal, Syatilla Melvin yang mahu mengetahui atas dasar apa ‘teman lelaki’ yang dimilikinya tidak pernah sama sekali memuat naik gambar dirinya ketika sedang bercinta.

 

Memuat naik hantaran di laman Instagram, Syatilla Melvin mempersoalkan ‘privasi’ lelaki yang sering menjadi tanda tanya oleh para wanita.

Jelasnya mengenai hantaran yang dimuat naik itu, Syatilla mengakui bahawa bekas teman lelakinya dahulu iaitu pelakon terkenal yang pernah menjadi kegilaan ramai, Shaheizy Sam juga tidak pernah memberi sebarang hint kepada orang ramai mengenai kisah cinta mereka bagaikan mahu ‘berahsia’.

Walau bagaimanapun, mengetahui bahawa Sam sendiri tidak memilih untuk menggembar-gemburkan atau mencanang mengenai kisah rumah tangga mahupun seawal zaman percintaan mereka dahulu, hal yang demikian meraih pujian ramai kerana tak semua kisah cinta berakhir di jenjang pelamin.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat meluahkan pendapat masing-masing mengenai alasan lelaki yang dikatakan ‘tidak sayang’ akan teman wanitanya jika tidak memuat naik perihal pasangan hidup di media sosial.

Dalam zaman media sosial yang serba moden ini, masyarakat seolah-olah seperti berlumba-lumba mahu berkongsi segala hal kehidupan mereka untuk tatapan umum.

 

Sering terlihat manis namun ada juga buruknya jika segala-galanya mahu dikongsi misalnya dalam hal melibatkan kisah peribadi, perkahwinan, perceraian dan sebagainya, tidak perlulah didedahkan kepada umum seperti dikatakan membuka aib sendiri.

 

Tak semua mata yang memerhati berasa bahagia menyaksikan kita ‘bersenang-senang’ dengan apa yang dimiliki, dalam erti kata mudah elakkan daripada pandangan mata ain sekali gus membenarkan jika individu yang melihatnya menyimpan bibit-bibit cemburu dalam hati.

 

Maka jelaslah jika seseorang itu tidak mahu berkongsi wajah pasangan bukan bererti tidak sayang namun mengapa menguji tahap kasih dan cinta hanya pada sekeping gambar?

 

Justeru, usah dahagakan pujian melampau dan berbalik lah kepada niat asal sesebuah perkenalan.

 

Ditulis Oleh: Puteri Haideera Zuraidi

Via : https://www.hotfm.com.my/hotselebriti-senang-nak-curang-syatilla-melvin-persoal-privasi-lelaki-yang-tak-mahu-muat-naik-gambar-teman-wanita/

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*