Manis bertudung, tapi ramai salah sangka identitinya… wanita ini minta doakan yang baik-baik – “Bila tiba Hari Raya, saya terlebih teruja nak sambut“

MELIHAT penampilan ayu wanita berkulit putih ini mengenakan tudung, tiada siapa yang menyangka gerangan tuan empunya diri sebenarnya bukanlah mualaf seperti yang disangka.

Menurut wanita keturunan Bidayuh bernama Roseline anak Sadong, dia sudah terbiasa mengenakan tudung sejak beberapa tahun lalu.

 

Sungguhpun merupakan penganut Kristian, namun Roseline tidak dihalang keluarganya apabila dia berpenampilan sedemikian.

 

“Kalau tak silap, saya mula cuba-cuba bertudung sekitar tahun 2018. Hanya baru sekarang, saya lebih kerap mengenakan tudung. Bukan setiap masa kerana waktu bekerja saya tak bertudung, tapi kebanyakan waktu terutama apabila keluar dengan kawan-kawan, saya akan bertudung.

“Kawan-kawan saya pun kebanyakannya terdiri daripada Muslim. Mereka tak hairan pun, sebaliknya lagi memberi galakan. Ada yang hadiahkan tudung, dan ada juga yang bantu saya pakai. Saya selesa sama ada stail bawal atau selendang kerana saya ada banyak koleksi dua-dua tudung ini,” ujar wanita yang berasal dari Sematan, Kuching, Sarawak ini.

Pernah dituju persoalan mengapa dia memilih untuk mengenakan tudung, Roseline berkata dia kadang-kadang tidak mempunyai jawapan kepada pertanyaan berkenaan.

“Tak tahu nak jawab apa kerana kadang-kadang saya juga tiada jawapan yang khusus. Apa yang boleh saya katakan, hati saya sememangnya tertarik kepada agama Islam.

“Saya pilih untuk bertudung kerana selesa dan rasa terlindung bila memakainya… macam ada satu perasaan lain. Pernah juga orang bertanya kepada saya, kenapa tak convert?

“Saya tak mampu menjawabnya… hanya minta doakan yang baik-baik. Bagi saya, soal untuk convert itu adalah keputusan yang besar. Perlu fikir masak-masak dan buat persediaan yang sewajarnya,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Bercerita mengenai latar belakang keluarganya juga, Roseline berkata dia bersyukur kerana mereka tidak mempunyai halangan malah memahami keputusannya.

“Tambahan pula dalam kalangan ahli keluarga saya pun ada yang dah memeluk Islam iaitu adik, ibu saudara dan juga bapa saudara. Jadi bukanlah asing bagi keluarga kami.

“Kadang-kadang bila saya balik ke kampung dan tak pakai tudung, mereka usik-usik pula ‘kenapa tak pakai tudung’,” ujarnya yang merupakan pekerja sektor swasta di Kuching.

Bukan sahaja cuba bertudung, malah Roseline juga mencabar dirinya untuk cuba berpuasa ketika bulan Ramadan bersama rakan-rakan Muslimnya yang lain.

“Sejak tahun lepas saya cuba berpuasa. Hari-hari pertama tu ‘tewas’ juga… hanya separuh hari. Namun saya cuba latih dan kekal positif. Tahun ini merupakan tahun kedua saya berpuasa.

“Seronok juga, ia menyihatkan dan boleh membantu menurunkankan berat badan. Bila tiba Hari Raya, saya pula yang terlebih teruja nak sambut,” katanya.

Wanita ini sama sekali tidak menyangka video yang dimuatnaik di aplikasi TikTok mengundang perhatian ramai.

Sumber :, https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2021/06/26/manis-bertudung-tapi-ramai-salah-sangka-identitinya-wanita-ini-minta-doakan-yang-baik-baik—bila-tiba-hari-raya-saya-terlebih-teruja-nak-sambut#.YNanrzXeAqA.facebook

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*