D0ktor Beritahu Bila Zahid Boleh Hadiri Prosiding Mahkamah, Sekali Timb. Pendakwa Raya Tye Satu Soalan P4nas

Doktor pakar sebuah hospital swasta hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa pesakitnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘mungkin’ boleh menghadiri prosiding kes rasuahnya membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang ditetapkan pada 6 Sept ini.

Dr Mohd Shahir Anuar dari Avisena Specialist Hospital di Shah Alam, yang merawat Presiden Umno itu, berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes Ahmad Zahid, juga bekas Timbalan Perdana Menteri.

Hakim Sequerah: Pada pandangan Doktor, adakah pesakit dalam keadaan ini boleh hadir ke mahkamah pada 6 Sept. Beliau perlu duduk di dalam mahkamah sepanjang prosiding kes ini tetapi beliau juga dibenarkan berehat.

Dr Mohd Shahir: Mungkin boleh, tetapi tidak boleh lebih 40 minit. Beliau tidak boleh duduk terlalu lama, beliau harus melakukan beberapa latihan peregangan.

Semalam, mahkamah itu dijadualkan mendengar hujah di akhir kes pendakwaan namun prosiding tersebut terpaksa ditangguhkan apabila Ahmad Zahid dimasukkan ke hospital pada Ahad susulan kecederaan yang dialaminya selepas terjatuh.

Susulan itu, Sequerah telah mengeluarkan sepina kepada doktor itu untuk hadir ke mahkamah bagi menjelaskan keadaan kesihatan Ahmad Zahid dan prosedur yang perlu dijalaninya serta menentukan tempoh pemulihan.

Pada prosiding hari ini, Dr Mohd Shahir berkata Ahmad Zahid telah memaklumkan bahawa beliau terjatuh ketika berada di tandas Rabu lepas sejurus selepas solat Asar serta mengalami kesakitan di bahagian leher dan toraks.

“Beliau tidak mengalami kepatahan tulang belakang. Semalam beliau menjalani prosedur intervensi kesakitan bagi mengurangkan sakit belakang akibat cakera teranjak yang dialaminya,” katanya.

Ketika ditanya tempoh yang akan diambil oleh Ahmad Zahid untuk berjalan seperti biasa, Dr Mohd Shahir berkata “beliau boleh berjalan seperti biasa tetapi tidak boleh duduk terlalu lama.

Hakim Sequerah: Jadi berapa lama beliau boleh duduk?

Dr Mohd Shahir: Biasanya, bagi setiap 30 hingga 45 minit, beliau perlu bangun dan melakukan latihan peregangan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran mengapa prosedur intervensi kesakitan dilakukan semalam dan bukan pada hari tertuduh dimasukkan ke hospital, Dr Mohd Shahir berkata beliau perlu menstabilkan keadaan pesakitnya terlebih dahulu memandangkan sudah diberi ubat.

Raja Rozela: Doktor, adakah kamu tahu bahawa tertuduh pergi ke Istana Negara pada 19 Ogos. Beliau juga telah menghadiri majlis angkat sumpah pada 21 Ogos iaitu sehari sebelum beliau dimasukkan ke hospital.

Saya menyaksikan upacara itu dari mula sampai habis, pesakit kamu berada di sana. Kesakitan yang dimaklumkan kepada kamu tidak menghalang beliau memandu atau dibawa oleh pemandu sehingga ke Istana Negara dan beliau duduk di sana sekurang-kurangnya sejam atau lebih sehingga majlis berakhir.

Kesakitan itu tidak dapat menghalang beliau, atau tidak menghalang beliau. Saya katakan kepada kamu bahawa beliau sebenarnya berpura-pura sakit kerana beliau telah dilihat oleh semua rakyat di seluruh negara bahawa pada dasarnya beliau mampu berjalan, mampu duduk dan mampu bergerak ke Istana seperti biasa.

Dr Mohd Shahir: Saya tidak setuju. Sebagai doktor, kami perlu percaya kepada pesakit kami. Saya telah memastikan bahawa kesakitan itu adalah benar, oleh itu kami telah menjalankan pemeriksaan seperti MRI (pengimejan resonans magnetik) dan imbas CT (imbasan tomografi berkomputer) ke atas beliau.

Kepada soalan peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal sama ada anak guamnya diberikan ubat tahan sakit bermula dari hari beliau terjatuh hinggalah berada di Istana Negara mungkinkah ubat itu melegakan kesakitan Ahmad Zahid, saksi tersebut menjawab “Ya mungkin juga.”

Pada akhir prosiding, peguam itu meminta Dr Mohd Shahir memeriksa tempat duduk di kandang tertuduh dan menyoal sama ada ia sesuai diduduki Ahmad Zahid dan doktor tersebut berkata tempat duduk sedemikian adalah tidak sesuai bagi pesakit yang mengalami cakera teranjak dan sakit belakang.

“Mungkin kamu boleh sediakan sebuah kerusi yang mempunyai kusyen,” katanya.

Kelihatan Zahdi Hamidi berada di sebelah bekas Perdana Menteri Najib Razak ketika Ismail Sabri angkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-9

Mahkamah kemudian mengekalkan tarikh 6 Sept untuk mendengar hujah di akhir kes pendakwaan.

Pada 19 Mac lepas, pendakwaan telah menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya ialah pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

– Bernama

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*