Menantu lelaki pembersih rimas dengan mak mentua rajin, apa yang berlaku sebenarnya? – “Ibu saya sedang tengok TV, dia buka saluran lain”

HUBUNGAN perkahwinan bukanlah antara suami dan isteri semata-mata, malah ia melibatkan penyatuan antara dua keluarga.

 

Namun, acap kali kita disajikan dengan pelbagai konflik antara menantu dan mentua sehingga ada yang digelar derhaka.

Terbaharu, seorang wanita tampil berkongsi kisah mengenai suaminya yang seolah-olah tidak suka akan kehadiran ibu mentuanya di rumah sendiri.

Jelas wanita yang tidak mendedahkan identitinya itu, dia perlu menjaga ibunya yang kini sudah berusia memandangkan adik-beradik yang lain tinggal berjauhan.

 

“Saya sekarang sedang menjaga ibu yang sudah tua memandangkan saya anak perempuan tunggal.

 

“Saya ada abang dan adik lelaki yang tinggal berjauhan. Tahun ini ibu memilih untuk tinggal bersama saya, mungkin faktor keselesaan.

 

“Dua bulan berlalu, suami saya mula menunjukkan sikap tidak selesa apabila ibu tinggal bersama kami,” ujarnya.

 

Kata wanita itu, biarpun sudah tua, ibunya masih gagah melakukan kerja-kerja rumah.

Namun, sikap rajin ibunya ternyata kurang disenangi sehingga berlaku insiden yang melukakan hatinya sebagai isteri.

 

“Ibu saya ni suka mengemas dan membantu saya memandangkan saya bekerja. Suami seorang yang sangat pembersih.

 

“Ada satu ketika ibu saya basuh pinggan, tak berapa cuci… dia ‘sound’ ibu saya.

 

“Kalau ibu saya sedang tengok televisyen, dia buka saluran lain, alasan anak-anak nak tengok kartun,” jelasnya.

Dedah wanita itu, dia juga pernah bertengkar dengan suaminya gara-gara insiden itu.

 

“Kami beberapa kali bergaduh hal ini tapi dia tak boleh terima ibu saya untuk terus tinggal bersama.

 

“Saya ni seorang isteri, akhirnya saya terpaksa makan hati apabila suami beberapa kali mencadangkan untuk ibu balik kampung tinggal dengan anak yang lain,” jelasnya lagi.

 

Wanita itu membuat perkongsian berkenaan menerusi Facebook Kisah Rumah Tangga dan menerima hampir 1,000 komen netizen.

Selain menzahirkan rasa simpati, ada yang turut memberi nasihat dan berkongsi kisah mereka sendiri.

 

“Siapa kata menantu perempuan yang tak serasi dengan mentua? Tengok ni kes lelaki pula yang tak ‘ngam’ dengan mentua.

 

“Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Faham sangat… seeloknya berbincang dengan adik-beradik yang lain. Buat sistem penggiliran.

 

“Jika diberi pilihan… saya lebih rela memilih ibu yang melahirkan saya daripada suami yang tidak tahu mengenang jasa budi dan menghormati ibu,” tulis beberapa netizen.

Sumber : https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2021/04/08/menantu-lelaki-pembersih-rimas-dengan-mak-mentua-rajin-apa-yang-berlaku-sebenarnya—ibu-saya-sedang-tengok-tv-dia-buka-saluran-lain?fbclid=IwAR0uQ8dQTZK3aACmrWB4EnQj1hM11TiI4ZMqjkwqDaiJ7uJvszO-sxH7oho.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*