Semasa

Petugas buat ‘swab test’ pd pekerja kilang tersentuh hati ketika nk solat Zohor, pondok kecil ‘pak guard’ buat mereka tersedar sesuatu

Peningkatan kluster membabitkan tempat kerja menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negara ini. Kes harian jangkitan virus itu naik mendadak sehingga mencatatkan rekod paling tinggi pada Rabu iaitu sebanyak 3,309 kes.

Dalam keadaan semasa, malah sejak di awal pandemik melanda negara, petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus-lumus untuk memerangi Covid-19.

Dengan semangat tinggi, mereka menjalankan tanggungjawab tanpa mengenal erti penat dan lelah melakukan ujian saringan Covid-19 bagi membendung penularan wabak ini.

Di sebalik menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, seorang doktor berkongsi pengalaman beliau yang tidak disangka-sangka sewaktu menjalankan ujian saringan pekerja di sebuah kilang.

“Baru-baru ni saya bertugas bersama pasukan saya buat (ujian) swab di sebuah kilang. Sebelum operasi bermula, sedang kami menyiapkan peralatan, masuk waktu Zohor.

“Kami fikir, elok kami solat dulu memandangkan urusan kami belum pasti habis jam berapa,” tulis Dr Sakinah Sulong di laman Facebook beliau.

Mahu menunaikan kewajipan itu, beliau bersama pasukannya menemui lokasi yang sesuai di kawasan kilang tersebut.

“Bila tanya, rupa-rupanya memang ada tempat solat di pondok pengawal (keselamatan). Kecil je tempatnya. Muat-muat seorang atau dua orang dewasa.

“Berdindingkan plywood (papan lapis) saja, pintu pun tiada. Lantainya papan beralaskan karpet lama. Ada kipas dinding,” tambah beliau.

Orang susah macam mana pun, kalau hatinya sentiasa ingat Allah, dia akan berusaha untuk solat dan menyediakan tempat solat sebaik mungkin

Menerusi sekeping gambar keadaan dalaman pondok yang dimuat naik Dr Sakinah menyaksikan beberapa sejadah digantung kemas di dinding, bersebelahan dengan sehelai baju pengawal keselamatan.

Melihat keadaan sekeliling di dalam pondok pengawal keselamatan itu nyata menyentuh perasaan Dr Sakinah yang merupakan seorang pakar perubatan keluarga.

Malahan terdetik di hati beliau mengenai petugas yang ditempatkan dalam bilik yang kecil itu, namun mempunyai keperibadian yang wajar dijadikan contoh.

“Saya pandang keliling, saya rasa tersentuh. Orang susah macam mana pun, kalau hatinya sentiasa ingat Allah, dia akan berusaha untuk solat dan menyediakan tempat solat sebaik mungkin.

“Walaupun dalam keadaan kekurangan. Saya doakan rezeki pakcik pengawal ini akan diberkati Allah selalu,” tambah beliau.

Walaupun profesion doktor sering dipandang tinggi masyarakat terutama ketika pandemik, beliau tetap mengamalkan sikap merendah dirinya dalam menghargai orang lain.

“Terima kasih, pakcik, bagi kami tumpang bersolat di sini. Besar pahala pakcik memudahkan urusan kami,” kata Dr Sakinah.

 

Sumber: mstar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *