Tolong lah peka buat pesanan masa hujan. Kesian mereka kena “sidai” tgh2 hujan.

SABAN hari, ada sahaja kisah mengenai rider penghantar makanan yang menjadi bualan ramai di media sosial.

 

Terbaharu, tular pula rakaman berdurasi 44 saat, memaparkan seorang rider yang sedang berdiri di dalam hujan lebat ketika menghantar pesanan makanan.

Dalam rakaman itu, dia berada di sisi motosikal miliknya sambil memegang telefon bimbit, di hadapan pagar sebuah kediaman.

“Demi mencari rezeki. Kasihanilah mereka. Kalau order time hujan ni, korang alertlah dengan kehadiran mereka.

 

“Jangan buat mereka tunggu lama dalam hujan lebat,” tulis individu yang berkongsi video itu di TikTok.

 

Video yang dikongsi pemilik akaun @laparperutku itu sehingga kini meraih hampir 80,000 tontonan.

Video itu ternyata mencengkam emosi ramai apabila individu itu turut menggunakan lagu Setia Hujung Nyawa, dendangan asal Yana Samsudin sebagai muzik latar.

 

Sehingga kini, video itu turut dibanjiri hampir 2,000 komen netizen, rata-ratanya bersimpati dengan nasib rider berkenaan.

 

“Kalau hujan, bersedialah depan rumah, buka pagar ke… kesian rider.

“Demi nak mencari rezeki sanggup redah hujan dan bahaya. Moga Allah memberi rezeki luas dan penuh keberkatan kepada rider ni.

 

“Tiba-tiba keluar air mata. Sedih. Tolong jangan buat mereka tertunggu-tunggu di luar ketika hujan macam ni.

 

“Akak tak nak komen apa-apa, akak nak nangis je,” tulis beberapa netizen.

Malah, ada yang turut mempertikaikan sikap pelanggan yang membuat tempahan kerana tidak peka dengan kehadiran rider serta keadaan cuaca pada waktu itu.

 

Selain TikTok, seorang lagi individu turut menularkan video itu ke laman Twitter sehingga meraih 70,000 tontonan dalam tempoh 16 jam.

Sebagaimana di TikTok, pelayar Twitter turut menzahirkan rasa simpati mereka terhadap rider itu.

Namun, ia bukanlah kali pertama kejadian seumpamanya dilaporkan

 

Pada 28 November lalu misalnya, mStar turut melaporkan kisah seorang rider wanita yang mundar-mandir di lobi sebuah bangunan, setia menanti pelanggan yang tidak muncul.

 

Rakaman itu tular dan rata-rata netizen menyuarakan rasa geram atas sikap pelanggan yang tidak peka sehingga menganiayai rider.

Sumber : https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2021/03/29/setia-tunggu-pelanggan-depan-pagar-rumah-berlatarkan-lagu-nyanyian-yana-samsudin-video-rider-basah-kuyup-dalam-hujan-lebat-jentik-emosi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*