Jaga-Jaga…Bazar Ramadan Di Wilayah Persekutuan Akan Ditutup Sekiranya…

Mana-mana Bazar Ramadan di bawah seliaan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan ditutup sekiranya berlaku jangkitan COVID-19 di tapak kawasan berkenaan.

Lapor BERNAMA, perkara itu dikatakan oleh Menterinya, Tan Sri Annuar Musa yang mengingatkan semua pihak terutamanya penganjur Bazar Ramadan di seluruh Wilayah Persekutuan untuk memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar dapat membendung wabak berkenaan.

“SOP yang dikenakan itu wajib dipatuhi terutamanya dari segi bilangan pengunjung, tetapi nampaknya perkara itu tidak dikawal hingga menyebabkan penjarakan fizikal tidak menepati, mengikut apa yang kita mahukan.

“Saya ingin ingatkan kepada semua penganjur di 66 tempat di seluruh wilayah untuk bertanggungjawab supaya penganjuran bazar di tempat mereka dipatuhi 100 peratus terhadap SOP yang ditetapkan,” kata beliau.

Kata Annuar, antara SOP yang perlu diperbaiki adalah pergerakan pengunjung yang sepatutnya hanya melalui satu laluan masuk dan keluar.

“Kita mahu benarkan penganjuran bazar sehingga akhir Ramadan, tapi jika pematuhan SOP masih diingkari dan dapati berlaku peletusan wabak atau jangkitan COVID-19 di bazar berkenaan, maka tempat itu akan ditutup,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Annuar turut mengingatkan perkara sama kepada penganjur Bazar Aidilfitri di persekitaran Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang akan mula dibuka esok.

Beliau juga menggesa semua ketua komuniti di setiap perumahan serta kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk patuh kepada SOP dan mengurangkan pergerakan di luar rumah jika tiada urusan penting.

Kredit Foto: Berita Harian.

Via https://gempak.com/berita-terkini/jagajagabazar-ramadan-di-wilayah-persekutuan-akan-ditutup-sekiranya-49074.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*