“Malah Saya Rasa Bila Kenakan Tudung Pun Adalah Atas Doa Netizen,” – Aminkan Ucapan Baik-Baik, Kilafairy Cerita Situasi Dorong Istiqamah Berhijab

Pelakon dan penyanyi, Kilafairy mengakui dia tidak pernah menyesal atas perjalanan hidup yang dilalui sebelum ini, selepas mengambil keputusan untuk berhijab penuh tahun lalu.

 

Menurut Kilafairy atau mesra disapa Kila,29, dia menyifatkan sejarah lama mendorongnya untuk memperbaiki diri, seterusnya cuba menjadi individu yang lebih baik.

Saya cuba untuk ‘tanamkan’ ia di masa lalu. Kalau nak kata sama ada saya menyesal atau tidak… sebenarnya kalaulah saya ada peluang untuk pakai tudung lebih awal, saya akan pakai. Akan tetapi jalan hidup saya seperti ini.

 

“Saya tidak menyesal atas apa yang telah berlaku. Kalau saya tidak laluinya, saya tidak akan jadi seperti hari ini.

 

“Saya rasa, pengalaman itulah yang membentuk saya untuk ke sini hari ini. Saya bersyukur, dengan pengalaman yang lepas,” katanya yang sering menitipkan doa, meminta petunjuk dari Yang Maha Esa.

Anak kepada penyanyi senior, Rohana Jalil ini berkongsi pengalaman indahnya itu menerusi program YouTube, No Turning Back dari Hijabista.

Ditanya mengenai pandangan pesimis yang mendakwa dia hanya sekadar mengikut trend apabila berhijab, Kila menjelaskan persepsi itu pasti akan wujud.

 

“Itu tetap akan ada. Macam inilah, kita buat jahat pun orang akan cakap elok dan begitu juga sebaliknya. Yang terbaik ialah setkan niat. Kenapa saya pakai tudung adalah kerana Allah SWT.

“Bila saya terapkan ia, segala kecaman yang datang tidak mengganggu, alhamdulillah.

Malah saya pun merasakan bila kenakan tudung pun adalah atas doa netizen. Bila saya pakai tudung dulu, ramai yang mendoakan semoga saya diberikan hidayah, kekal berhijab. Saya aminkan sahaja,” katanya lagi.

 

Kini lebih tertarik untuk untuk mengetahui apa sahaja mengenai ilmu agama, Kila turut bercerita mengenai perbezaan dirinya dulu dan sekarang.

 

“Cuba untuk jaga amal ibadah dengan sebaiknya. Minat saya untuk dalami ilmu agama itu orang kata lebih bersemangat dan lebih tertarik untuk ikuti.

 

“Kalau sebelum ini, kalau tonton ceramah sikit je macam alihlah pada saluran lain, saya macam tak berapa berminat. Tapi sekarang bila saya ikuti sesi usrah anjuran rakan, Neelofa misalnya, buatkan saya lebih tertarik.

Malah ada kawan lain yang umpamakan agama ini sama seperti telefon. Kalau kita tak cas, akan habis bateri. Jadi kita kena terus belajar.

 

“Kalau tidak memang ia akan terbantut di situ,” katanya yang mendapat sokongan padu dari ahli keluarga untuk menjadi insan yang lebh baik.

Sumber : https://www.mediahiburan.my/malah-saya-rasa-bila-kenakan-tudung-pun-adalah-atas-doa-netizen-aminkan-ucapan-baik-baik-kilafairy-cerita-situasi-dorong-istiqamah-berhijab/.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*