PU Riz kongsi rezeki bantu keluarga kibar bendera putih, terima banyak DM

MENYEDARI ramai yang berada dalam kesusahan sehingga menerima banyak mesej peribadi di Instagram, pendakwah bebas dan selebriti, Haris Ismail atau PU Riz sekali lagi menghulurkan bantuan.

Terkesan dengan apa yang berlaku, PU Riz, 26, terpanggil membantu 110 keluarga kurang berkemampuan di Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Suami kepada selebriti terkenal Neelofa itu berkata, dia bersama NGO, Pertubuhan Kasih Neelofa menyalurkan sumbangan berbentuk makanan dan barangan keperluan asas harian.

“Diakui hampir setiap hari saya mendapat mesej peribadi (DM) di Instagram yang meminta bantuan. Malah, apabila terbaca mengenai kempen kibarkan bendera putih ini saya sedar semakin ramai yang berada dalam kesusahan.

“Selepas mendapat maklumat ada keluarga di Taman Jinjang Baru yang mengibarkan bendera putih, saya bersama pasukan Pertubuhan Kasih Neelofa ambil keputusan untuk ke sana.

Oleh itu, pelbagai usaha dibuat bagi membantu golongan memerlukan termasuklah kempen kibarkan bendera putih bagi mengesan mereka yang berada dalam kesusahan.

Mengulas lanjut, PU Riz memberitahu kempen kibarkan bendera putih itu adalah usaha yang dibuat rakyat Malaysia atas keprihatinan sesama insan.

“Saya percaya ini antara usaha untuk membantu mereka yang betul-betul memerlukan ketika ini. Malah, tidak ada unsur paksaan pun dalam melaksanakan perkara ini.

Jadi, tidak salah kalau ada mana-mana pihak membantu mereka yang kibarkan bendera putih ini.

“Ini satu lagi cara bagaimana kita menunjukkan rasa berkasih sayang antara satu sama lain terutama dalam hidup bermasyarakat.

Disebabkan itu, saya bersama Pertubuhan Kasih Neelofa mahu berkongsi rezeki ini kepada mereka yang memerlukan.

PU Riz akan terus membantu keluarga yang terjejas.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudah banyak membantu dalam menjayakan setiap misi yang kami jalankan. Insya Allah, rezeki yang ada ini kita akan terus kongsi bersama, ” ujarnya.

Sebelum ini, PU Riz turut memberikan RM300 kepada I30 pelajar yang mendapat keputusan 5A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam masa sama, Pertubuhan Kasih Neelofa baru-baru ini menyerahkan kelengkapan 100 set jenazah berjumlah RM41, 900 kepada Pondok Maheliah di Kota Bharu, Kelantan yang menyediakan khidmat pengurusan kematian secara percuma kepada golongan asnaf yang kurang berkemampuan di negeri itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*