Menjadi ketua parti terbesar, ini reaksi Zahid dakwaan untuk jadi calon PM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia tidak pernah bercadang untuk menamakan dirinya sebagai calon perdana menteri.

Kenyataan itu susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri hari ini, setelah Zahid dan 14 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan mereka.

“Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas diri saya, sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.

“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon perdana menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, Umno akan mempertimbang beberapa calon untuk kedudukan itu, selaku parti yang “mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara”.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua ahli parlimen (Umno).

“Saya ingin menyeru kepada seluruh ahli dan kepimpinan Umno di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini,” katanya.

Walaupun tidak menyebutnya secara khusus, Zahid dipercayai merujuk kem naib presiden Ismail Sabri Yaakob yang kekal menyokong Muhyiddin.

Ismail Sabri juga dilaporkan mengadakan beberapa pertemuan semalam untuk mendapatkan sokongan sebagai perdana menteri yang baru – langkah yang tidak disenangi sejumlah pihak dalam Umno.

Setakat ini belum jelas jika namanya akan turut termasuk dalam senarai calon daripada Umno.

Cadang ‘kabinet perang’

Dalam pada itu, Zahid menyuarakan penghargaan kepada Muhyiddin atas khidmatnya selama menjadi perdana menteri, tetapi pada masa sama mengges semua pihak untuk memandang ke depan.

Dia juga mencadangkan beberapa perkara bagi mengelakkan kemelut politik yang berlaku daripada berulang.

Pertama, katanya, sebuah kerajaan stabil perlu segera ditubuhkan dan hanya menumpukan perhatian terhdap wabak Covid-19 dan perlu dibubarkan sebaik negara mecapai imuniti kelompok, untuk membolehkan PRU15 diadakan.

“Bagi tujuan ini, sebuah kabinet yang efektif mirip seperti ‘war cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara mendepani pandemik hendaklah dibentuk,” katanya.

Katanya lagi, bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik, amalan “menzalimi parti dan pimpinan lawan” perlu dihentikan.

“Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat,” katanya lagi.

PSB gesa undi di Parlimen

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin selepas ahli parlimen Pagoh itu sah hilang majoriti di Parlimen.

Bagaimanapun, Agong bertitah supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri ‘caretaker’ atau sementara sehingga perdana menteri baru dilantik.

Pemimpin parti-parti politik utama telah dipanggil untuk menghadap Agong di Istana Negara esok.

Dalam pada itu, Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memiliki dua ahli parlimen menolak sebarang usaha melantik perdana menteri baru berdasarkan sokongan yang dinyatakan dalam akuan bersumpah (SD).

“Individu yang dilantik untuk menjadi perdana menteri baru perlu mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, menerusi undi percaya.

“PSB tidak setuju dengan cara menunjukkan sokongan melalui SD atau ikrar peribadi daripada mana-mana pemimpin parti politik,” kata parti itu.

Justeru, parti itu menggesa sidang Dewan Rakyat diadakan segera agar undi percaya boleh dijalankan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*