“Doktor Dah Cuba Yg Terbaik, Tapi Bukan Rezeki Dia” – Ibu Syamel Meninggal Dunia

Kuala Lumpur: Ibu kepada penyanyi Syamel, Wan Faaizah Karim, 55, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta, di sini pada jam 10.09 malam tadi.

Selepas hampir dua bulan menerima rawatan di hospital akibat kekurangan oksigen dalam badan, Syamel reda dengan berita pemergian ibunya.

“Allah lebih menyayangi umi. Umi saya, Wan Faaizah Karim telah kembali menghadap pencipta-Nya pada jam 10.09 malam tadi.

“Doakan urusan umi saya dipermudahkan. Terima kasih kerana mendoakan umi saya selama ini,” katanya.

Menurut Syamel, dia juga memohon keampunan daripada Allah dan berharap ibunya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Ya Allah, ampunkanlah dosa umi ku. Kau perlihatkanlah syurga buat umi. Kau jadikanlah kuburnya seperti taman syurga. Kau terimalah segala amal baiknya di dunia ini untuk dijadikan teman di alam sana.

“Kau terangilah cahaya di dalam kuburnya, sesungguhnya umi ku pergi meninggalkan seribu satu ajaran padaku yang akan aku amalkan hingga akhir hayat,” katanya.

Terdahulu Syamel mengaku bimbang dengan keadaan kesihatan ibunya apabila terpaksa ditidurkan akibat kekurangan oksigen di dalam badan.

Dalam masa sama, Syamel menafikan ibunya dijangkiti Covid-19 dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang serius dan ini pertama kali dia dimasukkan ke wad sepanjang kehidupannya.

Terdahulu..

Ibu Syamel di ICU

Kuala Lumpur: Penyanyi Syamel, 28, memohon doa ramai untuk kesembuhan ibunya, Wan Faaizah Karim, 55, yang kini terpaksa ditidurkan akibat kekurangan oksigen dalam badan.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly memaklumkan ibunya sudah tiga minggu dimasukkan hospital dan kini berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun, Syamel menafikan ia disebabkan jangkitan Covid-19.

“Sudah tiga minggu ibu masuk hospital dan sejak seminggu lalu, dia terpaksa ditidurkan. Ini kerana dia kini terpaksa bergantung dengan bantuan pernafasan kerana kekurangan oksigen dalam badan.

“Puncanya pun kami tak tahu apa. Selama ini, dia tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang serius dan ini pertama kali dia dimasukkan wad sepanjang hidupnya.

“Harap semua dapat mendoakan agar kesihatan ibu saya kembali pulih. Doakan juga kesejahteraannya,” katanya.

Penyanyi lagu Lebih Sempurna itu juga reda tidak dapat melawat ibunya di hospital disebabkan situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

Namun, dia berharap pernafasan ibunya akan cepat kembali baik.

“Sehingga kini saya belum dapat melawat ibu kerana terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) hospital. Pihak hospital memang tidak benarkan ahli keluarga melawat lebih-lebih lagi dalam keadaan Covid-19 sekarang.

“Doktor nasihatkan ibu terpaksa ditidurkan. Ini kerana golongan usia sebegitu banyak menggunakan oksigen walaupun bergerak sedikit. Kalau dia boleh bernafas sendiri dalam 40 peratus pun doktor kata sudah okay,” katanya.

Terdahulu, Syamel berkongsi kebimbangan itu dan meminta doa semua menerusi Instagram Stories.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*